PENDAHULUAN
Pembajaan merupakan komponen kos penanaman yang paling tinggi (50-60%) dalam sesuatu operasi ladang. Banyak ladang yang telah berjaya meningkatkan hasil melalui kualiti pembajaan yang baik. Namun begitu tidak kurang juga ladang-ladang yang telah membelanjakan wang yang banyak untuk jenis baja yang difikirkan terbaik, kerja percontohan daun/tanah serta analisis dan mengubahsuai kadar baja yang ditabur tetapi tidak memanfaatkan usaha-usaha ini disebabkan kelalaian dan penyeliaan yang tidak sempurna atau menyeluruh di ladang
KESALAHAN-KESALAHAN YANG SERING DITEMUI DI LADANG
- Kaedah penaburan baja tidak betul. Baja tidak ditabur rata tetapi bertompok-tompok dalam bulatan pokok. Ini boleh menyebabkan kerosakan pada akar tanaman dan mengundang kepada kehilangan baja melalui air larian permukaan dan larut resap
- Masa pembajaan tidak betul iaitu dilakukan pada musim kering ataupun musim hujan.
- Kadar baja tidak mencukupi terutama pada kawasan tanaman muda dan yang berpotensi untuk mengeluarkan hasil tinggi akibat daripada penyeliaan yang tidak sempurna.
- Ketidakseimbangan baja yang ditabur iaitu jenis baja ditabur tidak mengikut keperluan pokok.
- Salah tempat perletakan baja.
- Kesuburan pokok diatasi secara mudah iaitu dengan meningkatkan kadar baja berbanding dengan untuk memperbaiki sifat fizikal atau saliran tanah terlebih dahulu.
- Pelepah pokok sawit yang belum matang kerap kali dicantas secara berlebihan menyebabkan baja yang ditabur banyak tertumpu untuk pembentukan vegetatif pokok berbanding untuk pembentukan bahagian reproduktif seperti bunga dan tandan buah.
KEPERLUAN ZAT NUTRIEN PADA POKOK SAWIT
A. Nutrien Utama
1. Nitrogen (N)
- Penting dalam pembentukan klorofil, protin dan beberapa enzim dalam tumbuhan.
- Memberi kesan terhadap luas permukaan daun, warna daun dan kadar penghasilan daun.
- Kekurangan N amat nyata pada pokok sawit muda yang ditanam pada kawasan berprofil cetek, berpasir ataupun tanah yang tidak bersaliran baik. Sumber baja N contohnya ammonium sulfat (21%N), urea (46%N), dan ammonium nitrate (34%N).
2. Fosforus (P)
- Kekurangan P boleh menyebabkan pertumbuhan palma terbantut, pelepah pendek, ukur lilit batang dan saiz tandan kecil.
- Bagaimanapun, kandungan P secara berlebihan dalam palma boleh menindas pengambilan kuprum (Cu) dan zink (Zn).
- Sumber baja fosforus contohnya CIRP (35% P2O5), TSP (46% P2O5) dan Gafsa (29% P2O5)
3. Kalium (K)
- Kandungan K yang cukup boleh meningkatkan ketahanan pokok sawit terhadap serangan penyakit dan musim kemarau serta boleh meningkatkan bilangan dan saiz tandan.
- Kekurangan K pada palma kerap berlaku pada tanah berpasir dan gambut. Tanda-tanda kekurangan K adalah bintik-bintik oren (orange spotting) pada daun dan dalam keadaan teruk hujung daun menjadi kering.
- Kandungan K yang berlebihan dalam palma boleh menjejaskan kandungan minyak dalam tandan,merendahkan kandungan boron (B) dan magnesium (Mg) dalam palma. Sumber K adalah seperti MOP (60% K2O) dan abu tandan (bunch ash) (30-40% K2O).
4. Magnesium (Mg)
- Magnesium adalah elemen utama dalam klorofil dan sangat penting untuk kecekapan fotosintesis.Selain itu ia juga berperanan untuk metabolisma fosfat, respirasi tumbuhan dan pengaktifan enzim.
- Kekurangan Mg kerap berlaku pada tanah berpasir dan sangat berasid.
- Daun pada pelepah tua yang terdedah pada matahari akan menjadi kuning/oren bermula pada tepi lai daun. Dalam keadaan teruk hujung dan keseluruhan pelepah bawah akan berwarna kuning/oren dan menjadi kering.
- Kandungan K dan Ca yang tinggi dalam tanah boleh menjejaskan pengambilan Mg oleh palma.
- Sumber Mg adalah seperti Kieserite (27% MgO) dan GML (18-20% MgO).
5. Kalsium (Ca)
- Keperluan Ca tidak begitu ketara pada tanaman sawit. Keperluan Ca oleh pokok sawit dapat dipenuhi secara tidak langsung dengan pemberian baja fosfat (RP) dan kapur (GML) kerana kedua-duanya mengandungi Ca.
- Hanya diperlukan pada tanah berasid dan gambut untuk mengurangkan keasidan tanah dan seterusnya meningkat penyerapan nutrien lain seperti N, P dan unsur mikro oleh palma.
- Sumber: GML (18 – 20% MgO)
B. Mikro Nutrien
1. Boron (B)
- Kekurangan boron menyebabkan rupabentuk daun tidak normal seperti daun bercangkuk (hooked leaf), daun kerinting (crinkled leaf), daun pelepah kecil, daun berbentuk tulang ikan (fish-bone leaf) dan cacat hujung daun (blind leaf).
- Keperluan B pada palma meningkat apabila pendebungaan sawit bertambah baik dengan bantuan agen pendebungaan seperti Elaeidobius kamerunicus.
- Kekurangan B juga berkaitan dengan kandungan N, K dan Ca yang tinggi dan tidak seimbang pada pokok sawit.
- Sumber B: Pelbagai sumber sodium borate seperti HGFB (46-48% B2O3)
2. Kuprum (Cu)
- Kekurangan Cu berlaku pada pokok sawit yang ditanam pada tanah gambut atau sangat berpasir.
- Gejala yang teruk menyebabkan pucuk/daun pelepah muda menjadi pendek, kuning dan akhirnya kering.
- Juga dikenali sebagai 'mid-crown chlorosis'.
- Sumber Cu adalah seperti kuprum sulfat.
3. Zink (Zn)
- Kekurangan Zn kerap berlaku pada tanah gambut dan boleh menjejaskan pembentukan vegetatif dan reproduktif palma. Daun pelepah bawah kekuningan dan dikenali sebagai 'peat yellow'.
- Sumber Zn adalah seperti zink sulfat
No comments:
Post a Comment