Secara amnya baja kimia terbahagi kepada dua sumber utama. Baja yang diperolehi daripada sumber semulajadi iaitu melalui perlombongan dan juga baja sintetik iaitu baja buatan di kilang. Baja-baja ini kemudiannya dibahagikan kepada 3 jenis utama iaitu:-
BAJA TUNGGAL
Baja yang mengandungi satu atau dua zat makanan perlu sahaja. Baja ini adalah tidak lengkap kerana tidak terdapat zat-zat makanan perlu yang lain contohnya baja lurus jenis Muriate Of Potash (MOP), baja ini hanya mengandungi zat makanan 60%K2O atau Kalium sahaja, manakala Rock Phosphate pula mengandungi 29% P2O5 atau Phosphate dan Kalsium sahaja. Kebiasaannya 4-5 jenis baja lurus diperlukan bagi melengkapkan keperluan pemakanan kelapa sawit.
Baja MOP |
Kelebihan baja tunggal ialah kandungan zat makanan yang tinggi dan harga yang lebih rendah. Contohnya, AN mengandungi 34% N, 29% P2O5 dalam RP, 60%K2O dalam MOP dan 27% MgO dalam Kieserite berbanding hanya 12%N, 6%P2O5, 22% K2O dan 3% MgO dalam baja sebatian (12:6:22:3).
Kelemahannya pula ialah keperluan bagi kekerapan aplikasi baja yang tinggi dan potensi segregasi dan antagonistik yang boleh berlaku apabila selang hari aplikasi untuk baja MOP dan Kieserite terlalu singkat atau kurang daripada 2 minggu. Hal ini akan meningkatkan risiko kehilangan baja kerana akar hanya akan mengambil satu zat makanan sahaja, kebiasaanya hanya zat makanan Kalium dan meninggalkan zat makanan Magnesium yang kemudiannya akan hilang melalui larut resap. Segregasi pula boleh berlaku apabila baja berasid seperti Ammonium Nitrate diaplikasikan bersama baja beralkali seperti Rock Phosphate.
Baja jenis ini tidak popular dikalangan pekebun kecil kerana aplikasinya agak cerewet dan memerlukan pengetahuan agronomi untuk memprogramkan kadar rekomendasi yang sesuai dan seimbang dengan keperluan pokok kelapa sawit.
Lain pula dengan syarikat perladangan besar, baja tunggal adalah biasa digunakan diladang-ladang mereka. Ini adalah kerana harganya yang lebih murah dan kandungan zat makanan yang tinggi. Tambahan pula syarikat perladangan besar kebiasaanya mempunyai jabatan atau unit agronominya sendiri yang boleh membuat rekomendasi baja yang lebih tepat dan seimbang.
BAJA CAMPURAN
Baja campuran adalah baja yang dicampur diantara 2 atau lebih baja tunggal. Proses percampuran baja adalah hanya melibatkan percampuran secara terus atau secara fizikal tanpa melibatkan proses pemanasan dan kimia. Proses campuran adalah berdasarkan nisbah-nisbah tertentu dan boleh dilakukan secara skala kecil dengan menggunakan cangkul atau mesin campur simen atau juga secara berskala besar di kilang-kilang baja. Walaubagaimanapun tidak semua jenis baja tunggal boleh dicampurkan diantara satu sama lain kerana tidak sesuai disebabkan ciri-ciri antoginistik dan segregasi sebagaimana yang telah diterangkan diatas.
Kelebihan baja ini adalah menjimatkan masa aplikasi kerana 2 atau lebih jenis baja tunggal dapat diaplikasikan serentak. Baja ini juga adalah lebih murah berbanding baja sebatian akan tetapi lebih mahal berbanding baja tunggal.
Kelemahannya ialah tidak semua baja tunggal boleh dicampur dan zat makanan dalam baja campuran terdedah kepada risiko ketidakseragaman dan luar daripada spesifikasi peratusan zat makanan. Contohnya, dalam satu beg baja campuran dengan spesifikasi nisbah 30%MOP dan 17%AN mempunyai potensi yang tinggi untuk mempunyai kadar nisbah yang berlainan seperti 25%MOP dan 20%AN. Implikasi luar spesifikasi akan mempengaruhi ketepatan kadar baja yang telah direkomendasikan yang berdasarkan kepada spesifikasi yang diberikan oleh pihak pengilang.
BAJA SEBATIAN
Baja sebatian adalah sejenis baja campuran yang melalui proses campuran fizikal, kimia, pemanasan, penyejukan dan pengranularan.
Kelebihan baja sebatian ialah mudah digunakan. Baja jenis ini dapat membekalkan zat-zat makanan yang hampir lengkap kepada pokok kelapa sawit. Baja sebatian yang popular adalah dari jenis sebatian 44. Kadungan zat makanan adalah hampir lengkap iaitu (12%N):(6%P2O5):(22%K2O)(3%MgO)
Kelemahannya pula ialah harganya lebih mahal berbanding baja lurus dan campuran. Zat makanan nitrogen pula terdedah kepada risiko pemeluapan (kehilangan N ke udara) lebih-lebih lagi bila baja ditabur pada musim panas. Ini adalah kerana kebanyakkan baja sebatian menggunakan Urea sebagai sumber zat makanan nitrogen didalam baja sebatian mereka.
Ada sesetangah baja sebatian yang tidak berkualiti. Harga baja sebatian yang tidak berkualiti agak murah sedikit, namun risiko kehilangan zat makanan adalah tinggi dengan menggunakan baja-baja yang murah. Risiko yang pertama ialah peratusan zat unsur makanan kurang daripada apa yang dinyatakan atau tidak memenuhi spesifikasi.
Keduanya, menggunakan granular yang tidak berkualiti. Kebiasaannya, granular yang tidak berkualiti akan lambat larut selepas ditabur. Kadangkala, granular tersebut masih kelihatan diatas tanah walaupun setelah 3 bulan ditabur. Keadaan ini boleh meningkatkan kehilangan zat makanan melalui air larian apabila hujan lebat.
Sememangnya diakui sebahagian zat makanan telah dilepaskan daripada granularnya. Namun persoalan yang timbul ialah berapa peratus yang telah dilepaskan dan berapa lama masa yang perlu diambil untuk 100% zat makanan dilepaskan? Sekiranya, ia mengambil masa sehingga 2-3 bulan, maka risiko untuk hujan lebat dalam jangkamasa ini adalah tinggi yang juga akan membasuh kesemua granular-granular bersama dengan zat makanan yang masih berbaki.
Pada pandangan saya adalah lebih baik kita mencuba beberapa jenis baja dahulu dengan kadar yang sedikit dan lihat keberkesanannya. Ekperimen mudah ialah dengan menabur baja-baja sebatian didalm polibeg nurseri dan disiram setiap hari. Bagi menjimatkan masa, beli beberapa jenis baja sebatian dalam bungkusan kecil dan jalankan ekperimen anda secara serentak.
Bagi mendapatkan keputusan yang agak tepat, anda boleh menyediakan replikasi iaitu satu jenis baja sebatian ditaburkan kepada sekurang-kurangnya 5 polibeg. Sekiranya anda ingin menguji 3 jenis baja sebatian, maka anda perlukan 15 polibeg yang mana setiap satu jenis baja akan ditaburkan kepada 5 polibeg.
Lihat berapa lama masa yang diperlukan untuk granular larut. Bandingkan ketiga-tiga jenis baja sebatian yang telah diuji. Pilih baja yang menunjukkan kadar perlarutan yang paling cepat. Mungkin aka nada polibeg yang lambat larut untuk satu-satu jenis baja sebatian. Untuk ini, anda perlu ambil purata bagi setiap polibeg yang menunjukkan kadar larutan yang cepat. Bandingkan purata bagi setiap jenis baja sebatian tersebut dan pilih purata yang terbanyak.
Walaubagaimanapun, jalan yang terbaik ialah pilih baja sebatian yang berjenama sperti CCM, YaraMilla, FPM, MPOB F1 dan Benh Mayer. Walaupun harganya agak mahal sedikit namun kualitinya agak terjamin.
Pembajaan adalah satu pelaburan yang menjamin kelangsungan hasil ladang anda.
SUMBER:
No comments:
Post a Comment